Tuesday, December 31, 2013

Mas Ermieyati seru Puteri dan anak muda agar tidak sertai Himpunan Gulingkan Kerajaan


Berhubung dengan tindakan segelintir NGO yang cuba menganjurkan perhimpunan haram pada 31 Disember ini, Mas Ermieyati Binti Samsudin, Ketua Puteri UMNO Malaysia yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut. 

"Kita faham walaupun ianya dibuat kerana membantah atas kenaikan harga barang, tarif elektrik serta tol tetapi perhimpunan ini boleh menyebabkan keadaan huru hara", katanya. 

"Banyak kaedah, cara serta saluran lain yang boleh digunakan untuk menyampaikan suara mereka bukan dengan cara ini", katanya lagi.

Selaku ketua Puteri UMNO Malaysia beliau berharap serta merayu supaya ahli Puteri dan anak muda di luar sana serta mereka yang bercadang untuk menyertai perhimpunan tersebut agar tidak berbuat demikian. 

Beliau juga khuatir ada pihak yang cuba mngambil kesempatan di atas kesempitan yang dialami oleh rakyat yang akhirnya akan merugikan dan menyusahkan diri mereka sendiri.

"Saya mendoakan serta berharap agar tahun 2014 ini memberikan lebih kebaikan dan kecermerlangan kepada rakyat Malaysia dari segi ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat tambahan pula tahun ini Tahun Melawat Malaysia, mari kita semua mulakan dengan sesuatu yang lebih baik untuk tahun 2014" ujar beliau.

Sunday, December 8, 2013

Puteri UMNO galak guna media sosial jana pendapatan


KUALA LUMPUR: Menyedari kelebihan menguasai media sosial, Puteri UMNO akan mengambil pendekatan lebih agresif untuk meningkatkan kemahiran masyarakat untuk menggunakannya sebagai platform menjana kegiatan ekonomi dan pendapatan.

Pengerusi Biro Media Sosial dan Digital Puteri, UMNO Mimie Harianie Alias berkata pergerakan itu akan memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat terutamanya wanita muda untuk berjaya dalam perniagaan dalam talian.

Bagi tujuan itu, Puteri UMNO akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan keusahawanan bagi mendapatkan bantuan, khidmat nasihat dan sokongan yang diperlukan.

"Galakan itu merangkumi bimbingan keusahawanan termasuk menajamkan kepakaran, memberi nasihat selain mendapatkan pinjaman kewangan untuk perniagaan, misalnya dari Tekun.

"Kita mahu Puteri bukan hanya aktif berpolitik tetapi juga cekap menggunakan teknologi terkini untuk menambah pendapatan dan pada masa sama kita perlu guna saluran media baharu ini bagi menarik pengundi muda untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Selain dapat mengurangkan penggangguran, Mimie Harianie berkata langkah itu boleh membantu wanita muda berdikari dan berdaya saing serta dapat membantu mengembangkan perniagaan.

Puteri UMNO juga bercadang mengadakan latihan dan bimbingan kepada anggotanya bagi memastikan mereka mahir menggunakan laman sosial dan aplikasi terkini serta tidak ketinggalan dalam kepesatan perkembangan teknologi maklumat.
"Kita mendapati masih ramai ahli yang tidak mempunyai akaun laman sosial seperti Twitter... ini merugikan kerana Twitter mempunyai capaian yang pantas dan mudah di mana apabila kita kemas kini atau 'retweet' sebarang maklumat, ia akan dapat dibaca oleh 'followers' dalam masa yang singkat.

"Kita juga mahu mengadakan latihan penyampaian agar ahli bijak untuk berhujah dalam menyerang balas serangan siber kerana kita dapati ada yang tidak pandai untuk menyerang balik dan memerlukan bantuan untuk menjawab tuduhan," katanya.

Dengan keanggotaan berjumlah 368,481 orang, Puteri UMNO boleh membantu mengikis persepsi negatif orang ramai terhadap parti dengan menonjolkan kebenaran dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan dengan cara merapatkan diri dengan orang ramai melalui media sosial, kata Mimie Harianie.

- BERNAMA