Monday, January 20, 2014

YB Emy Lambang Kepimpinan Berwibawa


Alhamdulillah.. sujud syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kesempatan dan kekuatan untuk kami terus berjuang mempertahankan Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta.

Tahniah juga buat YB Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia atas kejayaan memimpin Puteri UMNO dan 100 hari ini menjadi lambang kepimpinan yang berwibawa, Semoga kepimpinan ini nanti akan menjadi inspirasi untuk pelapis kepimpinan yang akan datang. - Mimie Harianie Alias

Sunday, January 19, 2014

Pelancaran Karnival Kempen Keahlian Puteri UMNO Di Perak



Pelancaran Karnival Kempen Keahlian Puteri UMNO yang julung kalinya diadakan di Perak, di bawah kepimpinan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin dijangka mampu menarik ribuan ahli baru.

Karnival yang berlangsung di Taman Tasik Taiping, Taiping Perak hari ini berlangsung dengan meriah dan bertujuan adalah untuk mensasarkan ahli baru Puteri UMNO untuk masa yang akan datang & mendekatkan generasi muda kepada UMNO khususnya.

Rata-rata mereka yang hadir terdiri daripada Puteri UMNO yang meliputi 24 bahagian di seluruh negeri Perak dan terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan di sepanjang program, antaranya 'booth' pameran dari pelbagai agensi seperti PDRM, AADK, RELA dan jualan barangan daripada Puteri UMNO.

Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Zahida Zarik Khan berkata, Perak menjadi tuan rumah pertama pelancaran karnival ini dan ia akan dijalankan secara berperingkat-peringkat di negeri lain.

Tambahnya, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai terutama pengundi muda.

"Sasaran kita adalah untuk menarik lebih ramai wanita muda untuk mendekati Puteri UMNO, alhamdulillah saya lihat sambutan di sini amat menggalakkan.

"Diharapkan sasaran keahlian sebanyak 500,000 ahli akan tercapai," katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Ahli Puteri UMNO Bahagian Bukit Gantang, Hajar Hanim Miskon pula berkata, kehadiran ribuan ahli baru ternyata di luar jangkaan kerana sebelum ini agak sukar untuk menarik minat anak muda, lebih-lebih lagi dalam soal politik.

"Seronok sangat bila lihat ramai orang dan ahli-ahli baru datang ke sini, tidak kurang juga dengan kemeriahan gerai jualan daripada ahli UMNO sendiri, sedikit sebanyak dapat beri peluang untuk mereka jadi usahawan muda dengan produk sendiri," katanya.


Ketua Puteri UMNO Bahagian Tanjung Malim, Zuzaiti Md Zakaria berkata, keahlian baru ini dapat membantu parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana peranan orang muda dan wanita turut menyumbang dalam kejayaan parti.

"Ia dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli di seluruh Malaysia, sebagaimana kita dapat lihat ada juga ahli yang datang dari negeri-negeri lain bagi menunjukkan sokongan kepada pergerakan Puteri.

"Kita dapat memberi pendedahan kepada anak-anak muda ini apa sebenarnya misi dan visi Puteri dan peranan dalam menjayakan hasrat UMNO," katanya.

Setakat ini terdapat 191 Bahagian Puteri UMNO yang melibatkan 9,998 cawangan dan keahlian seramai 368,481 orang.

Dalam program ini juga, borang ahli akan diserahkan kepada Ketua Puteri UMNO bagi menggerakkan ahli Puteri di setiap negeri untuk mempergiatkan Kempen Keahlian dan Daftar Pemilih.

Golongan sasaran terdiri daripada lepasan sekolah menengah, universiti serta golongan muda dalam lingkungan umur 18 hingga 35 tahun.



Wednesday, January 15, 2014

Mimie Harianie Alias Meeting Di Kedai Mamak.


Pengerusi Biro Media Sosial dan Digital Puteri UMNO, Mimie Harianie Alias bersama rakan-rakan puteri membincangkan hala tuju dan perancangan Biro dalam masa terdekat ini.

Walaupun hanya di Kedai Mamak tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ketua.

Perkara pokok yang dibincangkan adalah pembentukan jawatankuasa kerja bagi menggerakkan biro itu nanti disamping memerhatikan perkara yang dirasakan perlu diberi perhatian khusus untuk memantapkan lagi biro di masa akan datang.

Mimie Harianie bersetuju untuk menggelarkan Biro Media Puteri ini sebagai "Rakan Media Sosial Puteri" atau singkatannya RMP. Tujuannya untuk memudahkan sebutan dan mudah diingat tetapi tidak mengubah nama asal biro itu. 

Mimie Harianie mengakui tugas yang digalasnaya untuk membina rangkaian Rakan Media Sosial Puteri (RMP) ini bukan kerja mudah, ia memerlukan ketekunan, kesungguhan dan bantuan dari "Orang Lama" namun atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya beliau sanggup dan berjanji akan membuat yang terbaik untuk kepentingan Puteri di masa akan datang.

Tuesday, December 31, 2013

Mas Ermieyati seru Puteri dan anak muda agar tidak sertai Himpunan Gulingkan Kerajaan


Berhubung dengan tindakan segelintir NGO yang cuba menganjurkan perhimpunan haram pada 31 Disember ini, Mas Ermieyati Binti Samsudin, Ketua Puteri UMNO Malaysia yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut. 

"Kita faham walaupun ianya dibuat kerana membantah atas kenaikan harga barang, tarif elektrik serta tol tetapi perhimpunan ini boleh menyebabkan keadaan huru hara", katanya. 

"Banyak kaedah, cara serta saluran lain yang boleh digunakan untuk menyampaikan suara mereka bukan dengan cara ini", katanya lagi.

Selaku ketua Puteri UMNO Malaysia beliau berharap serta merayu supaya ahli Puteri dan anak muda di luar sana serta mereka yang bercadang untuk menyertai perhimpunan tersebut agar tidak berbuat demikian. 

Beliau juga khuatir ada pihak yang cuba mngambil kesempatan di atas kesempitan yang dialami oleh rakyat yang akhirnya akan merugikan dan menyusahkan diri mereka sendiri.

"Saya mendoakan serta berharap agar tahun 2014 ini memberikan lebih kebaikan dan kecermerlangan kepada rakyat Malaysia dari segi ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat tambahan pula tahun ini Tahun Melawat Malaysia, mari kita semua mulakan dengan sesuatu yang lebih baik untuk tahun 2014" ujar beliau.

Sunday, December 8, 2013

Puteri UMNO galak guna media sosial jana pendapatan


KUALA LUMPUR: Menyedari kelebihan menguasai media sosial, Puteri UMNO akan mengambil pendekatan lebih agresif untuk meningkatkan kemahiran masyarakat untuk menggunakannya sebagai platform menjana kegiatan ekonomi dan pendapatan.

Pengerusi Biro Media Sosial dan Digital Puteri, UMNO Mimie Harianie Alias berkata pergerakan itu akan memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat terutamanya wanita muda untuk berjaya dalam perniagaan dalam talian.

Bagi tujuan itu, Puteri UMNO akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan keusahawanan bagi mendapatkan bantuan, khidmat nasihat dan sokongan yang diperlukan.

"Galakan itu merangkumi bimbingan keusahawanan termasuk menajamkan kepakaran, memberi nasihat selain mendapatkan pinjaman kewangan untuk perniagaan, misalnya dari Tekun.

"Kita mahu Puteri bukan hanya aktif berpolitik tetapi juga cekap menggunakan teknologi terkini untuk menambah pendapatan dan pada masa sama kita perlu guna saluran media baharu ini bagi menarik pengundi muda untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Selain dapat mengurangkan penggangguran, Mimie Harianie berkata langkah itu boleh membantu wanita muda berdikari dan berdaya saing serta dapat membantu mengembangkan perniagaan.

Puteri UMNO juga bercadang mengadakan latihan dan bimbingan kepada anggotanya bagi memastikan mereka mahir menggunakan laman sosial dan aplikasi terkini serta tidak ketinggalan dalam kepesatan perkembangan teknologi maklumat.
"Kita mendapati masih ramai ahli yang tidak mempunyai akaun laman sosial seperti Twitter... ini merugikan kerana Twitter mempunyai capaian yang pantas dan mudah di mana apabila kita kemas kini atau 'retweet' sebarang maklumat, ia akan dapat dibaca oleh 'followers' dalam masa yang singkat.

"Kita juga mahu mengadakan latihan penyampaian agar ahli bijak untuk berhujah dalam menyerang balas serangan siber kerana kita dapati ada yang tidak pandai untuk menyerang balik dan memerlukan bantuan untuk menjawab tuduhan," katanya.

Dengan keanggotaan berjumlah 368,481 orang, Puteri UMNO boleh membantu mengikis persepsi negatif orang ramai terhadap parti dengan menonjolkan kebenaran dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan dengan cara merapatkan diri dengan orang ramai melalui media sosial, kata Mimie Harianie.

- BERNAMA